Posts

Ramadhan dan Kemaafan

Ramadhan dan Kemaafan

 

Dalam hampir setiap agama mengajar kita untuk memaafkan kesalahan, baik yang dilakukan sendiri atau pun orang lain.

Sesetengah orang mudah memaafkan orang lain tetapi tidak diri sendiri.

Terdapat juga mereka yang lebih susah memaafkan kesilapan orang lain.

Mereka ini lebih memendam dendam .

Kebanyakan daripada mereka, jika dendam itu sudah membara, akan menunjukkan perangai yang menyakitkan mata dan hati.

Terutama bila di hadapan orang yang mereka marahkan.

Apakah yang terjadi kepada perasaan ini seterusnya?

 

Segala perasaan benci, marah, dendam adalah tenaga.Tenaga tidak boleh dicipta atau dimusnahkan. Tenaga hanya boleh berubah bentuk. Maka tenaga negatif tadi akan bertukar menjadi ‘bintik-bintik hitam’ yang memenuhi kalbu sesaorang. Saya tidak bermaksud secara fizikal, tetapi meta fizikal.

 

Maka terjadilah seperti mana yang diingatkan oleh Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w;

 “Sesungguhnya dalam diri manusia ada seketul daging. Jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota badannya, tetapi seandainya daging itu rosak, dan kotor maka rosaklah seluruh anggota badannya.. dan seketul daging itu adalah hati.

(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu’man bin Basyir)

 

Ramadhan dan Kemaafan Ibu Rose

(Sumber gambar dari google)

Hati yang dipenuhi noda hitam

 

Hati yang dipenuhi dengan noda hitam itu tidak dapat mengeluarkan suara hati sebenar,

kerana suara hati itu tenggelam oleh suara nafsu.

Itulah kenapa dianjurkan sangat agar kita memaafkan segala kesalahan yang telah diperlakukan kepada kita.

 

Datangnya bulan Ramadhan ini adalah suatu masa yang sangat istimewa untuk kita membersihkan hati. Kembali kita kepada fitrah kita yang bersih.

 

Bagaimana mungkin hati menjadi kotor?

 

Mungkin kupasan yang seterusnya dapat memberi pembaca sekelian sedikit gambaran.

Anak-anak yang sering dilukai perasaannya semasa kecil akan membesar menjadi individu yang

bermasalah kerana mereka membenci diri.

Hati mereka akan penuh dengan noda-noda hitam ini, terutama jika mereka tidak belajar memaafkan.

Bila emosi anak dicederakan tanpa belas, mereka tidak faham mengenai belas kasihan.

Apatah lagi jika mereka tidak kenal kepada Pencipta mereka.

Bukan semua, tetapi kebanyakan.

 

Ini adalah simtom atau petanda hati yang rosak.

 

Tambahan pula bila mereka berada di dalam suasana yang lagi menghentam  perasaan mereka, maka berlakulah

perkara-perkara yang sering kita dengar, seperti membakar makmal,

mengugut, membuli, melibatkan diri ke dalam kancah penagihan dadah dan berbagai lagi.

Setiap kali saya mengendalikan kursus untuk pelajar,

saya akan berhadapan dengan beberapa pelajar yang bermasalah begini.

 

Mereka adalah anak-anak yang berhati bersih pada mulanya tetapi hati mereka terluka.

 

Ramadhan dan Kemaafan Blog Ibu Rose

(sumber gambar dari google)

Ada diantaranya, kerana terlalu dikasari semasa kecil.

Ada pula kerana dibuli kawan-kawan.

Ada pula kerana perbuatan orang dewasa yang tidak berhemah dan bertangung-jawab.

 

Bayangkan jika anak-anak ini membesar dan mereka pula menjadi orang dewasa.

 

Bagaimana mereka akan mendidik anak-anak mereka?

Bagaimana mereka  mahu menjadi majikan atau pekerja yang berpotensi dan berdaya tinggi?

Cuba kita fikirkan sejenak. Tidak hairanlah mengapa dunia ini lebih dipenuhi oleh orang yang berfikiran negatif dan berhati kotor.

 

Ramadhan dan Kemaafan Blog Ibu Rose

 

 

Blog Ramadhan dan Kemaafan Ibu Rose

 

 

Memaafkan Diri Sendiri dan Orang yang Pernah Bersalah Terhadap Kita

 

Untuk mengubah keaadaan, cara yang terbaik untuk menghapuskan tenaga negatif ini ialah dengan memaafkan diri dan orang yang pernah bersalah terhadap kita. Belajar cara berundur balik .

Selagi kita tidak memaafkan selagi itulah tenaga itu wujud di dalam diri kita dan merosakkan diri kita sedikit demi sedikit.

Itulah sebabnya hampir semua agama menyarankan kita memaafkan musuh kita.

Bukan hanya untuknya tetapi untuk kesejahteraan diri kita.

Bila kita memaafkan, dia tidak lagi dapat merosakkan kita, walaupun dia masih berdendam dengan kita.

 

“Ketidakmaafan adalah ibarat meminum racun tapi mengharapkan orang yang didendami itu mati. Tetapi yang sebenarnya ‘mati’ adalah diri sendiri.”

 

Memaafkan Kesilapan Ibu Bapa Kita

 

Seorang ibu atau ayah, akan payah menjadi yang terhebat mendidik anak-anak mereka jika dendam terhadap

ibu bapa mereka masih bersarang.
Marilah kita memaafkan kesilapan ibu bapa kita jika ada semoga Allah akan memudahkan kita mendidik anak-anak

kita dengan menunjukkan contoh yang cemerlang.

 

Salam Pelukan Kasih

Ibu Rose