BERDENTUM BERITA GURU MENINGGAL SENDIRIAN! – Siapa yang SALAH? Baca komen Ibu Rose

Tajuk Dari Siakap Keli
Guru Dalam Pantang Meninggal Dunia Di Sebelah Anak 19 Bulan dan Sebulan, Hanya disedari suami selepas pulang kerja

BERDENTUM … BERITA GURU DALAM PANTANG MENINGGAL DUNIA SENDIRIAN – SIAPA YANG SALAH?

BAGAI MIMPI NGERI YANG TIDAK BOLEH TERBANGUN DARINYA…

Yang pergi takkan kembali!

NAMUN DIA WIRAWATI!

Meninggalkan pengajaran terpahat di hati – Ibu Rose Mengupas Kisah Sedih Ibu Muda Didalam pantang Meninggal Dunia sendirian hanya ditemani Anak Umur 19 bulan dan sebulan.

 

Siakap Keli

 

Hati bagai dihiris pilu..

Sebak Ibu membaca mengenai berita seorang ibu muda di dalam pantang meninggal dunia seorang diri di rumah dengan hanya bertemankan anak 19 bulan dan sebulan yang belum faham apa-apa.

Ya Allah Kau tempatkanlah ruhnya di tempat hambamu yang Dikau cucuri rahmah.

 

Memang bila kita mendengar perkara begini, apakah reaksi kita?

 

Mungkin marah, mungkin sebak, mungkin geram, mungkin tak terkata., mungkin naik hantu orang kata.

Soalan demi soalan muncul di kotak pemikiran.

Mengapa dibiarkan dia sendirian? bukankah dia di dalam pantang? Mana saudara mara? Mana jiran?

Mengapa suaminya tidak prihatin dan peka akan keadaannya?


Mengapa dan mengapa….????


Ibu tertanya-tanya sehinggalah Ibu…..


TERSEDAR INI BUKAN LAH AKHLAK UNTUK MENERIMA BERITA SEDIH!

Astagfirullahal Adzim! Cepat Ibu beristigfar.

Ibu berbisik ke hati; Mengapa Ibu perlu bertanya begini pula.

Mengapa geram dan marah mesti mendahului respon Ibu terhadap perkara ini.

Di mana husnu dzan, bersangka baik?

Dan Ibu menyelami perasaan Ibu dan meletakkan diri Ibu pada suami arwah, keluarganya, jirannya…

Ibu tersedar soalan-soalan begini dan kata-kata marah dan cerca, akan hanya menambah keruh keadaan.

Hati terasa dihiris-hiris. Kesalan demi kesalan. Jika boleh hendak sahaja rewind balik satu hari sebelum kejadian! Namun, itu bukan cara alam ini ditakbir.

 

Oleh itu, setelah memuhasabah hati dan diri, Ibu tidak mahu menambah keruh keadaan suami dan keluarga arwah.

 

Mula-mulanya, Ibu tidak mahu menulis akan perkara ini dan memberi komen. Ibu terlalu sebak dan kasihan dengan anak-anak dan suami yang ditinggalkan. Ibu tidak mahu menambah kesedihan yang memang sudah tidak tertanggung oleh keluarga ini.

 

Namun, seorang daripada followers page Ibu meminta Ibu memberi komen kerana arwah adalah kawannya dan dia begitu terkesan dengan pemergian arwah dan cara arwah pergi.

 

Merenung jauh ke dalam hati dan memohon pertolongan Ilahi, Ibu bertanya apakah perkara yang baik dan menambah nilai yang Ibu boleh beri mengenai perkara ini?

 

Dan akhirnya, di sini Ibu sajikan supaya penulisan Ibu ini bukan sekadar memberi komen kepada apa yang berlaku tetapi memberi suatu ilmu baru yang lebih boleh dimanafaatkan.

 

ILMU BARU

“Tidak bergerak sesuatu zarah tanpa izin Allah”.

Tidak terjadi sesuatu tanpa kemahuan Allah.

Kedatangan kita ke dunia ini adalah untuk menambah nilai kepada dunia ini.

Dengan itu, Allah akan memberi kita peluang untuk kita belajar menambah nilai.

Dan cara pelajaran itu disampaikan  adalah pelbagai.

Bukan hanya melalui buku-buku, pelajaran di sekolah, atau kolej atau Universiti.

 

Dunia ini sendiri adalah sebuah Universiti yang besar.

 

Setiap hari ‘pelajaran’ disajikan kepada kita! Dan setiap orang berlainan sajian pelajarannya.

Setiap pelajaran sesuai untuk melengkapkan diri kita untuk MISI kita di atas muka bumi ini.

Ya,setiap masa kita di tarbiyahkan oleh Nya. Cuma samada kita sedar atau tidak sahaja.

Tiada sesuatu yang terjadi terlepas dari pandanganNya. Dan tiada sesuatu dijadikan sia-sia!

 

Dalam mentarbiyahkan diri kita ini untuk penyempurnaan MISI kita, adakalanya, kita sendiri yang perlu melalui kesakitan, kepayahan atau kegembiraan dsbnya.

 

Dan banyak darinya adalah kita ditarbiyahkan dari melihat apa yang berlaku kepada orang lain.

Jika kita belajar dengan baik dari apa yang terjadi kepada sesaorang yang Allah pilih untuk kita mempelajarinya, maka kemungkinan besar kita tidak perlu melaluinya.

 

Jika tidak, mungkin kita perlu melaluinya untuk kita belajar dan berhenti mencerca orang yang ditimpa musibah itu.

 

Pernah Terjadi Suatu Ketika Dahulu…

Seorang bapa muda begitu keras mulutnya mencemuh ibu yang tertinggal anak kecilnya di dalam kereta sehingga membawa kematian.

Cemuhan dan kata-kata marah kerana kecuaian si ibu muda dilemparkan ke dalam FBnya dan bila dia bercakap dengan kawan-kawan.

Ternyata dia tidak belajar dari pelajaran yang Allah sedang sajikan kepadanya!

Tak lama selepas itu, suatu hari, dia balik dari mengambil anak-anak dari sekolah, semasa itu isterinya di tempat kerja, dia menonong sahaja masuk ke dalam rumah.

Hari panas terik dan dia pula sangat mengantuk.

BERDENTUM BERITA GURU MENINGGAL SENDIRIAN! - Siapa yang SALAH? Baca komen Ibu Rose

Semasa dia hampir terlelap di sofa, anak sulung lelakinya yang berusia 8 tahun bertanya kepadanya:

“Ayah, mana adik?”

Hampir menjerit si ayah muda bila tersedar yang dia telah tertinggal anak lelakinya seorang diri di dalam kereta yang di parkir di tengah panas di luar!

Dia hampir mengulang kecuaian ibu muda yang dikutuknya itu!

Ambil Pengajaran

Oleh itu, bila terjadi satu-satu perkara begini, elakkanlah mengutuk, mengkeji dan mencerca mereka yang ditimpa musibah.

Ya, mungkin betul mereka cuai. Namun, bukan tempat kita untuk menghakim. Biarlah itu kita lepaskan kepada Allah yang Maha Tahu.

Tugas kita adalah untuk belajar dari kejadian itu dan yang penting, tugas kita adalah untuk memberi ketenangan kepada keluarga yang sedang bersedih.

 

PELAJARAN ALAM – WORLD LESSON

Ibu bakal menimang cucu yang ke 7. Anak kedua Ibu bakal melahirkan anaknya yang ke 4.

Sebagai seorang Ibu, Ya Allah risaunya Allah yang tahu.

Jika sayang semua dapat menyelam hati seorang ibu seperti Ibu; sayang akan tahu, seorang ibu lebih sanggup melalui sakit itu dan bukan anaknya. Itulah perasaan Ibu. Tapi itu mustahillah kan.

Itu sebab kisah di atas sangat menyayat hati Ibu.

Ibu risau akan anak Ibu yang bakal melahirkan anak. Namun, ianya tidak boleh ditahan. Ia tetap akan perlu terjadi. Masakan boleh kita simpan anak itu di dalam rahim lama-lamakan.

Maka sebagai seorang ibu yang anaknya bakal bersalin, ini pelajaran yang Ibu ambil dari kejadian di atas:-

Sedikit pesanan Ibu untuk yang sudi menerima. Tiada paksaan.

  • Berbincang dengan detail bagaimana penjagaan anak dan cucu-cucu Ibu semasa anak Ibu di dalam pantang selepas bersalin dan menyusun langkah yang terbaik.
  • Masa di dalam pantang selepas bersalin adalah masa yang sangat sensitif dari segi kesihatan. Si ibu boleh turun darah, meroyan, bentan dan banyak lagi. Oleh amat perlu si ibu di temani oleh sesaorang yang dewasa.
  • Semasa di dalam pantang perlu sangat menjaga makanan si ibu yang telah bersalin agar tidak bentan dan masuk angina badan-badannya.
  • Emosi kebanyakan ibu yang baru bersalin mungkin kurang stabil. Ramai juga yang mengalami Post-Natal Depression atau lebih dikenali sebagai meroyan selepas bersalin. Jika ianya tidak kuat maka mungkin tidak apa. Tapi jika ianya kuat, boleh membawa kepada mencederakan anak-anak dan dirinya. Oleh itu perlu sangat seorang Ibu itu ditemani dan diperhatikan keadaannya.
  • Cari orang yang boleh mengurut dan bertangas supaya cepat pulih peranakan. Tapi jika tidak percaya akan ini semua, jagalah kesihatan dengan perubatan yang dipercayai.
  • Pentingnya para suami dan keluarga untuk memberi ibu yang baru bersalin rehat yang cukup. Jangan ingat lepas bersalin ni macam lepas sakit batuk atau demam. Sakit begitu pun perlukan rehat yang cukup, ini apa ntah lagi mengeluarkan seorang manusia kecil. Badan memerlukan rehat yang cukup.
  • Faham bahawa pada masa di dalam pantang, seorang ibu itu memerlukan sokongan emosi dan mental. Kerana tidur yang sering terganggu si ibu mungkin payah untuk berfikiran waras.

Cabaran-cabaran yang dilalui oleh seorang Ibu yang berpantang selepas bersalin

 

1. Senang marah

Dia mungkin senang marah dengan anak-anak yang lain dan hilang sabar dengan banyak perkara.

Berilah kata-kata positif kepadanya. Ajak dia berbincang perkara-perkara yang memberi dia semangat untuk mengatasi cabaran yang sedang dia lalui.

2. Breastfeeding

Kemungkinan juga dia tiada susu untuk breastfeeding anaknya.  Ini sebenarnya boleh membuat seorang ibu yang di dalam pantang menjadi stress.

3. Anak yang lain jealous

Mungkin si kakak atau si abang jealous dan menyakitkan bayi yang baru lahir. Mungkin jahitan tidak pulih dan menyakitkan.

Banyak lagi cabaran-cabaran yang ibu berpantang lalui.

Oleh itu bantulah apa yang patut. Kalau datang melawat, janganlah sibuk menunggu si ibu menjamu sekiranya cuma dia sahaja di rumah ketika itu. Malah, ringankan tulang menolong apa yang patut.

Pesan Ibu pada para suami

 

Jagalah isteri yang baru bersalin itu baik-baik.

Jaga kesihatannya, jaga emosinya.

Sangat tidak sesuai untuk disuruh dia melakukan semua kerja.

Para suami yang prihatin dan kasih sebenar kepada isteri akan membuat banyak kerja dan bukan sekadar menolong.

Istilah menolong tidak sesuai di sini. Kerana menolong bermaksud kita tidak melakukan yang banyak, hanya sekadar melakukan sebahagian.

Apa yang suami penyayang akan lakukan adalah mendahului dan yang melakukan kerja rumah samasa isteri di dalam pantang (jika tiada maid).

Ibu tahu banyaknya pengorbanan seorang suami penyayang dan bertanggung-jawab.

Ya, memang banyak, itulah sebabnya tak ramai yang layak mendapat gelaran itu. Dan juga, setelah selama 9 bulan isteri telah bertarung nyawa, tentu suami penyayang dan bertanggung-jawab sanggup bersusah payah sedikit untuk 60 hari 🙂

Ada Suami Berlaku Curang Semasa Isteri Dalam Pantang!

Ibu perlu sebut juga perkara ini, kerana banyak Ibu terima aduan dari para isteri, suami berlaku curang semasa isteri di dalam pantang.

Ada juga yang menyepak terajang dan membiarkan isteri melakukan semua kerja di tambah menjaga anak-anak.

Kasihanlah  si isteri.

“Ya, Allah, peliharalah para suami daripada kejahatan syaitan yang membisikkan kejahatan ke telinga manusia.

Isteri dan anak-anak mereka layak dilayan dengan baik. Berilah kesedaran ,taufik dan hidayah. Biarlah dunia ini dipenuhi dengan mereka yang bertanggung-jawab dan mengindahkan dunia.”

Ibu dan bapa kandung serta mertua, sangat perlu bekerjasama. Dan jika si ibu sudah tiada emak atau ayah atau kedua-duanya sekali, atau jauh di rantau, ibu dan bapa mertualah tempat berharap.

Jika  tiada kesetiaan, maka yang akan binasa adalah rumah-tangga dan anak-anak. Bersoraklah iblis dan syaitan kerana jarum-jarum mereka berkesan.

Berusahalah membina keluarga bahagia dan dalami ilmu untuk mendidik diri dan mendidik anak-anak.

Rumah tangga kita ada kesannya kepada keadaan dunia hari ini dan masa akan datang. Kerana dari rumah tangga kita lahirnya anak-anak. Anak-anak ini akan menjadi dewasa dan menjadi sumber manusia di muka bumi ini pada masa akan datang.

Jika kita tidak mengambil berat pertalian kita suami-isteri, maka bagaimanakah kita boleh membesarkan anak-anak dengan tenang dan membantu mereka menjadi insan yang berguna? Kita akan disoal di dalam kubur nanti akan perkara ini. Dan sesungguhnya, setiap diri merasakan mati!

Upgrade Parenting Bijak Ibu Rose

 

Allah melihat kita!

Sesuatu yang perlu Ibu tekankan di sini sebelum Ibu mengundur diri. Blog ini tidak langsung bermatlamat untuk mengherdik atau mencemuh siapa atau apa yang telah berlaku kepada keluarga di atas.
Malah tujuan blog ini semata-mata adalah untuk mengajak semua untuk TIDAK mencemuh keluarga itu. Malah mendoakan kesejahteraan mereka.

Untuk kita belajar dari apa yang terjadi supaya kita menjadi insan yang lebih tawaduk.

Al-Fatihah untuk Allahyarhamah. Semoga Allah menempatkan Allahyarhamah di dalam rahmahNya.
Dan mendoakan Ibu agar keluarganya diberi kekuatan iman dan emosi serta fizikal bagi melalui cabaran yang sangat memedihkan ini. Ya, Allah, peliharalah mereka.

Salam Kasih,

Ibu Rose

www.facebook.com/iburoselove

IG. IbuRoseLove