PENTINGNYA ENAM TAHUN PERTAMA HIDUP ANAK

Enam tahun pertama dalam kehidupan anak kita umpama waktu kita menyemai benih. Sekiranya anda memberikan perhatian yang teliti untuk enam tahun pertama ini, maka percayalah enam tahun yang berikutnya dan tahun-tahun yang seterusnya, dia akan mudah diurus dan anda akan menerima ganjarannya. Oleh itu, ketika menyemai benih, inilah waktu anda menyemai dan menanam pengetahuan yang betul, nilai kehidupan, disiplin, tabiat, cara berfikir, dan kepercayaan tentang kehidupan.

Inilah masanya untuk anak anda merasakan dirinya sangat disayangi dan dilindungi. Didik dan berikan tunjuk ajar tentang perkara yang benar dan salah, peraturan, batasan, cara berfikir yang betul, tabiat, keyakinan dan sebagainya. Ini merupakan tahun-tahun asas bagi mereka. Sekiranya anda membinanya dengan kuat dan kukuh, anda akan memperoleh anak-anak yang memiliki keperibadian yang tinggi seperti yang diidamkan oleh semua ibu bapa.

Enam tahun pertama dalam kehidupan anak

(sumber foto dari google.com)

Ramai ibu bapa mengabaikan enam tahun pertama ini dan membiarkan anak benih ini disemai dan dijaga oleh pembantu rumah atau orang lain kerana bagi mereka tidak banyak yang dapat difahami oleh anak sekecil ini. Mereka cuma akan memberikan lebih perhatian kepada anak-anak apabila anak-anak telah mula bersekolah. Namun, ketahuilah enam tahun pertama di dalam hidup anak itu sangat-sangat penting kerana itu adalah ‘foundation’.

Pada ketika itu, apa-apa yang tertanam di minda anak anda mungkin kepercayaan-kepercayaan diri yang menyebabkan dia menjadi bengis, pemarah, dan tidak berkebolehan. Bayangkanlah bagaimanakah sikap anak ini apabila menghadapi cabaran-cabaran hidup pada masa hadapan?

Sesetengah ibu bapa bertanya kepada Ibu, “Bagaimanakah berkomunikasi dengan seorang anak kecil untuk memberitahunya tentang nilai-nilai kehidupan dan bentuk pemikiran yang baik?” Dengan mudah Ibu menjawab, “Bercakap dengan mereka.” Aktiviti seperti membaca dan bercerita, menonton kartun bersama, dan berkongsi tentang nilai-nilai yang baik dalam cerita kartun itu ataupun filem yang ditonton dengan mereka ialah cara yang baik. Bawa mereka berjalan-jalan di taman, pasar raya, dan kedai sambil berbual-bual dengan mereka. Bercakap dengan mereka apabila mereka bangun daripada tidur dan juga ketika mereka tidur. Minda luar kawal mereka boleh mendengar walaupun mereka sedang tidur dan anak-anak ketika umur ini mengalami pembelajaran secara tidak sedar. Ceritakan kisah orang-orang yang agung dan ternama serta individu yang telah mengatasi kesusahan-kesusahan dalam kehidupan dan kini telah mengecapi kejayaan kepada mereka.

Pentingnya didikan enam tahun pertama hidup anak

(sumber foto dari google.com)

Inilah masanya untuk anda menyemai dan menanam biji benih yang betul. Ketahuilah bahawa sebenarnya ada beribu-ribu cara dan jalan yang lain untuk anda lakukan. Ingatlah, jika anda tidak menyemai biji benih yang betul, orang lain mungkin akan menanam benih yang salah di minda anak anda.

Enam tahun yang berikutnya ialah waktu pembentukan tingkah laku dan tabiat. Pada usia tujuh tahun, seseorang anak akan berupaya membezakan antara perkara yang baik dan buruk. Untuk orang-orang Islam, umur ini dipanggil mumayyiz. Inilah usianya di mana kanak-kanak dapat membezakan sesuatu perkara itu sama ada baik atau buruk. Tumpukan perhatian terhadap usaha untuk membentuk tabiat untuk berjaya dalam diri mereka. Terangkan sebab anda telah menyediakan batas sempadan dan peraturan untuk kehidupan mereka. Anak-anak ini akan faham dan sekiranya anda telah memberikan penerangan dengan baik kepada mereka, jangan terperanjat sekiranya mereka patuh kepada anda dengan rela hati.

Pada usia 10 tahun, anak-anak yang tidak mahu mendengar nasihat perlu ditegur dan sekiranya perlu bolehlah menggunakan merotan tetapi janganlah secara keterlaluan. Walau bagaimanapun, hendaklah diingatkan bahawa alasan dia dihukum adalah untuk memperbaiki tingkah lakunya yang salah; bukanlah kerana dendam, marah, benci atau sikap bengis kita. Sekiranya hukuman yang diberi tidak berupaya untuk mengikis tingkah laku yang salah itu, lihatlah kembali alasan di sebalik kelakuan itu.

Pentingnya didikan enam tahun pertama hidup anak

(sumber foto dari google.com)

Contohnya, anak-anak yang tidak mahu pergi ke sekolah dan dia dirotan serta dihukum. Walau bagaimanapun, setelah dihukum, dia masih ponteng sekolah. Cara yang mudah adalah dengan memberikan hukuman yang lebih keras. Ingatlah, suatu perbuatan yang tidak masuk akal ialah membuat perkara yang sama berulang kali, tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Cara yang mungkin lebih bijak yang boleh anda lakukan ialah dapatkan sebab dan alasan utama dia tidak mahu pergi ke sekolah. Mungkin dia malas dan mungkin juga dia dibuli atau yang lebih parah, dia diperas ugut. Hukuman hanya akan memberi dia satu kepercayaan bahawa dia tidak dikasihi dan kita tidak lagi dipercayai oleh mereka untuk memberikan pertolongan.

Ada dalam kalangan ibu bapa yang menggunakan kuasa rotan untuk memotivasikan anak-anaknya untuk belajar dan mereka begitu berbangga kerana bersikap demikian. Menarik. Apakah pendapat Ibu? Apakah pula pendapat anda? Ibu tidak percaya dengan memberikan motivasi yang menakutkan akan membantu anak-anak kita untuk cemerlang dalam pelajaran. Benar, ada tempat dan waktunya kita boleh mengenakan motivasi yang menakutkan, tetapi bukanlah dalam bidang ini.

Sekiranya anak anda berkemahuan untuk belajar, biarkan dia, kerana ini bererti telah wujud hasrat di hatinya untuk belajar. Bukan kerana takut dirotan. Jika takut dirotan ialah motivasinya, maka dia cuma akan menggunakan mindanya pada tahap yang paling rendah, iaitu minda reptilia. Bahagian minda ini bukan minda yang berfikir atau intelek. Bahagian minda ini ialah bahagian minda untuk menjaga perasaan selamat kita. Rotan itu akan mengancam perasaan selamat anak itu dan respon bahagian minda ini ialah lari atau lawan. Itulah yang kita lihat apabila anak-anak itu sukar untuk menerima ilmu yang diberi. Hal ini boleh diibaratkan seperti hendak memberi minum kepada orang yang dahaga, tetapi kita mencekik lehernya!

Undang-undang, batas sempadan, peraturan, dan hukuman adalah untuk kita boleh membina disiplin diri yang baik. Oleh itu jika semua itu tidak membina disiplin yang lebih baik di dalam diri sesaorang itu, maka hukuman, peraturan dan semua itu perlu diselidik kembali yang mana boleh digunapakai dan yang mana jangan sesekali dipraktikkan.
Salam Kasih,

Ibu Rose,
Membina generasi berwibawa.