ROTAN SAMPAI BERBEKAS!
Cara Selesai Pelajar Bermasalah?

Blog Ibu ini adalah menjawab sebuah saranan dari wassap seorang guru berkaitan dengan kisah sedih Tragedi Thafiz Ittifaqiyah 14hb September 2017 baru-baru ini.

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana kita mempunyai ramai orang yang prihatin dan tersentuh mengenai apa yang berlaku kepada Tahfiz Ittifaqiyyah. Apatah lagi setelah mengetahui punca bagaimana perkara itu boleh berlaku.

Siapa yang tidak rasa geram dan marah bila kita mengetahui anak-anak yang baik dan mulia hati mereka itu, menjadi korban anak-anak yang liar dan mungkin mengalami sakit emosi. Terasa sangat bahawa ibarat sia-sia anak-anak dan guru-guru itu pergi dan yang kita ada tinggal adalah anak-anak yang telah rosak…

Bila datangnya masalah seperti ini, tragedi, Allah sedang mendidik kita. Allah sedang memberi kita amaran juga. Allah mahu kita belajar dari kesilapan itu semua. Allah mahu kita melihat kembali hidup kita. Jika ada sesuatu yang perlu kita perbaiki. Bukan hanya orang yang terlibat terus, kita yang melihat ini juga perlu belajar dari tragedi ini.

Pertama, Ibu setuju dengan pendapat Cikgu S mengenai  cara anak-anak itu membakar Tahfiz itu, menunjukkan memang bukan tahap pemikiran anak-anak kecil. Mereka seperti seorang pro. Seolah-olah itu sudah menjadi kebiasaan. Banyak sebab bagaimana mereka boleh menjadi demikian. Salah satunya adalah kerana kesan dadah itu sendiri. Dan memang ini mengerunkan.

Sebagai masyarakat yang bertanggung –jawab pula kita perlu memikirkan jalan penyelesaian agar perkara seperti ini tidak berleluasa. Kita perlu fikirkan bagaimana untuk menyelamat anak-anak lain daripada rosak. Malah Cikgu ini telah menyatakan, ramai anak-anak kita ‘tenat’ dan perlu diselamatkan. Bagi Ibu ada benar kata-katanya itu.

Anak yang ‘tenat’ perlu diselamatkan jika tidak semua orang di sekililing mereka akan tenat juga dan jika usia mereka semakin besar dan mereka semakin mampu bertindak, tidak ada tempat yang selamat bagi kita yang belum tenat ini.

NAMUN, sebelum kita memutuskan apakah jalan penyelesaian yang hendak diambil, kita perlu mengambilnya dari keadaan diri yang penuh insaf, sedar dan tidak dikuasai oleh ketakutan yang melumpuhkan dan boleh menjadi kita pula yang tenat. Untuk bertindak tepat, kita perlu memahami, mengapa seorang anak itu boleh rosak.

(sumber foto dari google.com)

Mengikut apa yang Ibu faham dari perkongsian Cikgu S yang ibu hormati itu, beliau memahami bahawa anak-anak ini menjadi rosak kerana mereka kurang dirotan. Bila berbuat salah, mereka tidak dihukum. Mereka tidak dihentikan dari melakukan perkara yang membahayakan diri dan orang lain. Cikgu-cikgu di sekolah tidak boleh membetulkan mereka kerana anak-anak yang begini tidak boleh di rotan. Di dalam wassap itu, Cikgu S telah mengatakan,  biar anak-anak itu dirotan hingga berbekas, berbirat, agar mereka berhenti melakukan kelakuan buruk itu semoga mereka berhenti dan terelak mereka ini masuk penjara. Bila Cikgu mengatakan begini, Ibu boleh merasakan kerisauannya  akan anak-anak yang tidak didisiplinkan itu.

Ibu setuju anak-anak yang menunjukkan simptom pelajar bermasalah perlu didisiplinkan. Namun, ada sesuatu yang Ibu perlu tambah juga untuk meluaskan pandangan kita.

Pertama, dengan rendah hatinya Ibu nak ingatkan ya, anak menjadi berperangai jahat dan menjadi rosak bukan kerana mereka tidak cukup dirotan. Dalam banyak perkara, mereka menjadi jahat kerana mereka terlalu banyak dimarahi, disakiti, dipukul dan dirotan.

Mari Ibu bawa sedikit penerangan mengenai jenis parenting yang merosakkan anak-anak.

Pertama, DOMINANT Parenting atau pendidikan yang DOMINAN. Semua mesti ikut cara ibu bapa atau guru. Anak-anak/murid tidak boleh bersuara dan pendapat mereka dicampak ke tepi.

Hukuman adalah sangat berat dan selalunya tiada penerangan sebelum diberi hukuman. Anak begini memang selalulah dirotan.

Hasilnya anak-anak/murid jadi marah dan berdendam atau menjadi tiada keyakinan diri dan pengecut. Yang marah dendam tu pun lah yang akan membakar, membunuh ke sebab banyak sangat dendam. Yang kecut nilah yang kemudiannya merosakkan diri dengan menjadi penagih dadah dan sewaktu dengannya.

Kedua, PERMISIVE Parenting – semuanya ikut jer kehendak anak-anak/murid. Anak dimanjakan berlebihan. Tidak ada boundaries dan tiada undang-undang. Anak menjadi seperti Anakku Sazali! Apa jadi kalau tetiba di rotan? Dia jadi macam Anakku Sazalilah jugak, dia bakar rumah ke, kereta ke, apa ke…asalkan dia dapat balas balik!

Ketiga, NEGLECTFUL Parenting – Anak terbiar disebabkan desakan hidup mencari nafkah, anak tidak dididik. Bila balik rumah mungkin yang ada adalah marah-marah kerana itu dan ini. Anak tidak langsung rapat dengan mak ayah dan mereka tidak merasakan mak ayah penting pun dan mereka juga tidak merasakan mereka itu penting!

Kalau dirotan mereka ni…mungkin boleh mengajar mereka. Namun, mereka ini lebih boleh belajar bila kita tunjuk kepada mereka keprihatinan dan kasih-sayang supaya mereka dapat merasakan mereka ini berharga. Bila ini berlaku, mereka akan mahu berjaya dan membantu nasib keluarga dan ibu bapa. Mereka ini amat mahukan sesaorang memberikan didikan kepada mereka.

(sumber foto dari google.com)

Merotan mereka ini hanya akan confirm mereka ini tidak berguna. Jika itu imej diri mereka, agak-agak selesai ke masalah yang nak di selesaikan.

Malah mengikut laporan remaja yang terlibat itu kebanyakannya tidak bersekolah lagi! Mengapa mereka tidak bersekolah lagi itu pun suatu pertanyaan juga. Mengapa mereka terbiar begitu? Apa yang telah berlaku kepada mereka ini? Dimana orang dewasa di dalam hidup mereka yang sepatutnya membimbing mereka?

Soalan-soalan ini bukan untuk menunding jari, namun ia membantu untuk kita melihat apa yang sedang berlaku.

Jadi apa jalan penyelesaiannya?

Jika tidak dirotan budak-budak yang rosak ini bagaimana nak membetulkan mereka (Ini bukan budak-budak yang membakar Tahfiz tu ya. Yang itu mereka perlu dihukum dan diputuskan di mahkamah. Ibu bercakap mengenai, anak-anak yang jahat di sekolah tu).

Jawapannya, mahu tidak mahu adalah kembali kepada TINGKATKAN KEMAHIRAN diri, baik dalam mendidik sebagai ibu bapa mahu pun guru.

Ibu bapa dan para guru perlu meningkatkan skil-skil mendidik. Kena belajar cara untuk menasihati anak-anak. Belajar untuk kenal pasti bibit-bibit kelakuan yang boleh mengarahkan kepada kerosakan diri anak-anak kita. Ketiga-tiga jenis parenting yang disebut di atas perlu di elakkan.

Anak-anak perlu dididik dengan Kasih-sayang dan Ketegasan. Bukan kasih sayang tapi tegas. Kasih sayang DAN ketegasan. LOVING & FIRM Parenting. Bagaimana tu? Parenting itu dilaksanakan dengan penuh kasih sayang dan termasuklah kasih sayang tegas – Tough Love. Anak-anak di disiplinkan dengan peraturan dan peraturan ini menjadi suatu yang suka untuk mereka ikuti kerana ibu bapa mengambil masa menyemaikan nilai-nilai murni ke dalam diri anak-anak. Ibu bapa perlu faham tahap perkembangan anak-anak agar disiplin yang dilakukan dan hukuman yang diwujudkan sesuai dengan umur anak-anak itu.

Bila anak yang baru 7 tahun ke bawah di rotan di atas kesilapan, ianya hanya mengundang masalah. Itulah sebabnya, perkara yang paling berat sekali pertimbangannya di mata Allah, iaitu SOLAT pun, hanya dibenar untuk dirotan pada usia 10tahun anak itu. Bukan sebelumnya. Fikirkanlah kenapa?|

Parenting yang Loving dan firm ini, membawa pendekatan mencegah dan bukan hanya menghukum. Sebab ibu bapa ini faham akan kesan dan natijah, mereka berusaha mendidik anak-anak dengan memahami sebab ‘reason’. A child that raise with reasons, become reasonable.

Para guru pula perlu sangat skil coaching dan counselling. Besar dan berat tanggung-jawab para guru, itulah sebabnya mereka adalah PENDIDIK. Malah sebenarnya perkataan GURU itu sendiri membawa makna, seorang yang faham, tinggi ilmunya dan mendidik. Mendidik hati dan jiwa dan bukan intelek sahaja.

Alah, susah dan lambat? Rotan sahaja sampai berbekas, nanti fahamlah mereka dan takutlah mereka!

Takut? Kita nak didik anak dengan takut? Sampai bila mereka akan takut? Suatu hari mereka akan lebih kuat dan besar dari kita. Kita ni macam tikus sahaja pada mereka. Mereka tidak takut lagi. Itulah yang terjadi pada remaja yang membakar Tahfiz itu. Mereka tidak takut, kerana mereka sudah tidak peduli. Hati sudah keras, kering dan MATI!

Ibu Rose Ebook Didik Anak Cemerlang

Di dalam ebook ini Ibu menulis panjang lebar mengenai bagaimana untuk mendisiplin dan menghukum anak-anak dan anak menjadi taat, pengasih dan berdaya tinggi.

Mengambil pendekatan merotan ikut suka hati, apa sahaja kesalahan adalah short cut yang menyebabkan kita menghadapi masalah anak rosak ni. Marah yang berlebihan dan merotan ini dalam banyak hal adalah seperti short cut. Kecuali, yang mengendalikan merotan itu, melakukannya dengan betul.

Mungkin selama hari ni kita nampak rotanlah penyelesaian semua masalah, kenapa agaknya?

Sebabnya, bila kita hanya ada satu cara nak selesaikan masalah, maka itulah saja yang akan kita guna.

Sama seperti, jika seorang tukang tu dia hanya ada penukul dan hanya tahu menggunakan penukul, maka semua masalah nampak macam paku untuk diketuk.

Bayangkan tukang itu yang buat rumah kita. Setengah tempat oklah tapi banyaklah lubang bekas paku diketuk kerana bayangkan kayu yang hendak dipotong menggunakan penukul. Boleh bayangkan?

Jawapannya, untuk menyelesaikan masalah, kita tidak boleh berfikir pada tahap yang sama bagaimana masalah itu wujud. Kita kena up level kita. Kita kena apply HOT – High Order Thinking jugak. Kita perlu tingkat kompetensi kita. Kita perlu betulkan dan tingkatkan kualiti SIKAP, SKIL dan ILMU kita.

Cara pemikiran yang rotan inilah satu-satunya cara menyelesaikan masalah adalah sangat-sangat menunjuk bahawa sesaorang itu tidak faham peranan rotan itu. Cuba fikir dalam-dalam, jika rotan ini adalah caranya, tentu Nabi s.a.w sudah melakukannya. Tentu itu yang Nabi suruh. Tapi Baginda membina hati dan jiwa, mendidik dengan penuh amanah dan kasih-sayang dahulu. Jika perlu baru rotan itu diberi peluang namun itu pun ada cara melakukannya. In most cases kerana cara mendidik itu bermula dengan mendidik hati, rotan memang tidak perlu.

(sumber foto dari google.com)

Tenaga amarah bukanlah apa yang didulukan di dalam pendidikan Rasulullah s.a.w. Sehinggakan bila perlu merotan kerana anak meninggalkan solat dengan sengaja pada usia 10 tahun dan lebih, cara pengendaliannya juga adalah penuh bertanggung-jawab. Kerana tujuan hukuman bukan untuk melepaskan geram, tetapi untuk membina, mendidik dan menjadikan orang itu lebih bertangggung=jawab. Maka, bolehkah sesaorang itu menjadi bertanggung-jawab jika dia dirotan dalam keadaan penuh marah dan dendam sehingga mahu dibekas-bekaskan rotan di badan pelajar itu?

Ingat ya! Merotan pun boleh jadi anak-anak itu pembuli besar, penjenayah malah penjenayah kronik.

Bila kita nak menyelesaikan masalah masyarakat sekarang, biarlah ianya datang dari hati yang penuh sedar, hadir kasih-sayang, hadir takut kepada Allah dan tidak boleh sedikit pun ada ego dan tujuan membalas dendam.

Allah ambil anak-anak syurga ini; mereka sudah di sana. Allah tinggalkan anak-anak yang rosak ini…apa maksudnya?

Bagi Ibu, maksudnya, Allah nak ingatkan JANGAN ALPA dengan pendidikan anak-anak kita. ILMU parenting ini penting dan perlu dipelajari dan diambil berat. Bila tiada ilmu parenting, anak yang dilahir ibarat kain putih, boleh menjadi kain hitam yang kotor.

Bila Ibu post mengenai Tragedi ini dan apa yang patutnya kita pelajari, ramai yang nampak bahawa selama hari ini mereka jaga anak-anak mereka sahaja, anak-anak jiran tidak diambil peduli. Malah, ramai yang mahu melakukan sesuatu yang positif untuk membetulkan keadaan.

ibu, apa yg bt sy tkesan dr kejadian ni.sy byk menjaga diri sendiri dan keluarga sendiri.sy byk doakan untuk diri.sy jarang malah kadang xpernah doakan yg lain.sy byk pk unt mjadikan anak sy yg tbaik unt agama.tp sy lupa kta hdup dlm jemaah.sy xpernah mbntu pun keluarga yg ada masalah ni,sy x ambil tau pun anak2 yg bmasalah yg blaku dpan mata sy.bla jadi cmni,bru sedar kesannya sgt2 dasyat.ibarat letupan yg blaku

Allah..terima kasih kerana membuka mata n minda sy..saya jua sering lupa untuk mendoakan org lain. Asyik pikir diri sendri shaja..
Ampunkan kami yaallah.

Kasih sayang dari ibu bapa dan keluarga dapat menghapus gejala sosial yang tak baik.

Sesuatu yang kita perlu sedar, kita dapat apa yang kita LAYAK. Jadi apakah yang kita layak sekarang, jika melihat dari apa yang berlaku.

Jika kita hendak layak mempunyai anak-anak yang baik budi, berjaya dan berjasa, hafiz dan hafizah, contoh yang terbaik, apakah yang kita perlu lakukan kepada diri kita dahulu?

Sebagai ibu bapa, bagaimana kita hendak mendidik anak-anak kita dan anak-anak jiran kita?

Sebagai guru dan pendidik, bagaimanakan akhlak kita dan cara kita mendidik hati anak-anak didik kita iaitu anak-anak orang lain? Mereka datang kepada kita didatangkan oleh Allah, kita perlu menyentuh hati mereka dengan kebaikan, jika di rumah, mak ayah mereka gagal.

(sumber foto dari google.com)

Ibu pernah diberi peluang oleh Allah membantu ketua gangter sekolah dan kumpulannya untuk sedar betapa pentingnya mereka kepada dunia dan mereka boleh membawa kebaikan juga. Si Ketua Gangster berhenti menjadi ketua gangter dan berusaha mahu membina dan membela nasib keluarganya.

Allah mengizinkan Ibu jugak menjadi pendidik, dan pernah bersama dengan anak-anak yang bermasalah ini. Malah pernah bersama banduan jugak. Ramai diantara mereka ini menjadi anak-anak bermasalah kerana mereka tidak merasakan mereka ini penting dan berharga. Tergiang-giang kata-kata ini di telinga Ibu..

“Cikgu, kalau mak kami macam cikgu, tak lah kami jadi macam ni. Kami ni asyik ditengking, dimarah dan dibenci!”

Yang banduan tu pula

“Ibu kami sejak kecil tidak mengenali kasih-sayang. Kini kami sudah buat salah dan mnejadi banduan apatah lagilah”

Boleh tak kita ganti cara membetulkan anak-anak itu dari tersilap jalan dan kembali ke pangkal jalan dengan KASIH-SAYANG, dengan menginsafkan mereka itu berharga?

(Ya, sebelum Ibu disalah fahamkan baca ni, ini bukan budak-budak yang membakar Tahfiz tu ya. Yang itu mereka perlu dihukum dan diputuskan di mahkamah. Ibu bercakap mengenai, anak-anak yang nakal di sekolah tu).

So, sayang Ibu, Cikgu S, terima kasih kerana sangat prihatin akan anak-anak yang dah tersilap jalan dan menghala ke jalan salah. Di hati mu ada keinginan yang tulen mahu membetulkan keadaan. Kerisauan akan nasib anak-anak lain dan dunia ini sehingga terganggu tidur mu.

Semoga Cikgu dan semua yang berfikiran seperti beliau, dapat berusaha untuk adjust sedikit cara penyelesaian kita itu ya, dari amarah dan rotan kepada jalan penyelesai penuh kasih dan sayang. Jika perlu merotan pun kita lakukan dengan penuh kasih-sayang, sedar diri dan takut kepada Allah. Sebab yang kita nak betulkan itu adalah hambaNya dan kita akan dipersoalkan akan perbuatan kita itu.

Ramai anak dah tenat tapi merotan berbirat hanya akan menambahkah mudarat. Didik hati dan jiwa mereka. InsyaAllah, akan berkat dan lebih selamat dunia akhirat.

Ampun dan maaf dari Ibu.

Salam Kasih, Ibu Rose