BERDESING TELINGA DENGAN TEGURAN CHEF WAN!
Ibu Rose mengupas teguran Chef Wan
========================================
Baru-baru ni, Chef Wan menulis di dalam Instagram beliau mengenai isu segelintir tetamu yang berkunjung ke rumah beliau.
Teguran beliau banyak kepada ibu bapa yang tidak mengawal anak-anak berkelakuan semasa bertandang.
( Jika nak tahu, baca entri Instagram beliau)
Sebab ia berkaitan dengan mendidik anak-anak, maka ramai yang menunggu komen Ibu.
Ramai juga ibu bapa muda yang sedih ditegur sedemikian.
Rasa dikecam macam dikata tak pandai mendidik anak-anak.
Dan ini Ibu selitkan Adab bertamu yang Ibu ambil dari Blog Islam Dinamis.
Buat perbandingan bijak. Lihat sendiri dimana salahnya Teguran Chef Wan.
Melihat points rungutan Chef Wan dan Adab bertamu dari Islam Dinamis, muslim.or.id dan fadhlihsan.wordpress.com, anda mungkin boleh membuat kesimpulan sendiri. Di bawah ini adalah kesimpulan Ibu pula.
Oleh sebab Ibu mengulas isu teguran Chef Wan mengenai bertamu, maka kesimpulan Ibu ini adalah mengenai Adab Bertamu. InsyaAllah di penulisan yang lain Ibu akan mengulas mengenai Adab Menjadi Tuan Rumah.
Sebenarnya, apa yang Ibu perasan, selama hari ini, ramai yang lebih memberatkan Akhlak Tuan Rumah dalam menerima tetamu.
Namun ramai yang lupa untuk mengkaji Akhlak Tetamu dan semasa bertamu di rumah orang.
Jika kita faham akhlak bertamu, maka kita tidak akan marah pada teguran Chef Wan itu.
Malah kita berterima kasih kerana beliau sanggup menegur kesilapan kita.
Hak Tuan Rumah dan Hak Tetamu
Kadang-kadang kita lupa bahawa ada adab dalam bertamu iaitu Adab sebagai Tetamu.
Dan bila kita terlupa akan perkara itu maka kita akan lupa bahawa kita TIDAK ada hak untuk memaksa rules kita ke atas orang yang kita kunjungi.
Jika bagi kita tidak mengapa orang sepahkan rumah kita, dan lebih sepah lebih meriah bagi kita, itu tidak bermaksud dan TIDAK membolehkan kita memaksa orang yang kita kunjungi mengambil cara kita bila kita berkunjung ke rumahnya. Bukankah dia tuan rumah dan itu rumah dia?
Elakkan
Entitlement Mindset
Maka sebagai seorang yang berbudi pekerti tinggi, kita hormatlah rules dia. Seperti juga dia, kalau bertandang ke rumah kita, dia tidak lah boleh pula suruh kita ikut cara dia. Sebab rumah kita, kitalah yang menentukan apa yang selesa. Begitu juga dengan rumah dia, dialah yang menentukannya.
Oleh itu bagi yang memberi komen dan membandingkan cara sendiri dengan cara tuan rumah yang dikunjungi itu dan dalam konteks perbincangan kita ini, Chef Wan, kita perlulah sedar, itu rumah beliau dan beliau ada hak untuk menentukan cara yang selesa untuk beliau dalam menerima tetamu.
Of course sebagai tuan rumah beliau juga perlu memberi keselesaan kepada tetamu. Dan bukankah itu yang beliau lakukan? Di sediakan jamuan makanan yang best best, tempat makan yang selesa, suasana yang nyaman, rumah yang bersih….maka kita yang berkunjung pastikanlah keadaan itu berterusan dan bila meninggalkan rumah beliau, biarlah dalam keadaan yang baik. Dan doakan kebaikan untuk beliau dan keluarga. Bukankah, itu termaktub di dalam adab bertamu? kan sayang?
Sepatutnya kita yang perlu ikut cara tuan rumah itu.
Kita perlu hormati keselesaan tuan rumah juga. Ini yang ramai orang tidak menghalusinya dan terlepas pandang.
Malah mereka berfikiran hanya tuan rumah sahaja yang ada tanggung-jawab melayan tetamu. Tetapi tetamu boleh melakukan apa sahaja. Ini sebenarnya adalah penyakit yang merosakkan diri dan masyarakat. Penyakit ini dinamakan Entitlement Mindset. Dan kita perlu jauhi ia, sayang.
(Dan ketahuilah, ini sedang menular dengan banyaknya di dunia ini. Anak merasakan hak dia untuk ibu bapa reward dan lakukan perkara untuk dia. Jika dapat A, perlu bagi hadiah, jika berpuasa perlu bagi duit. Dan di sekolah pula, murid-murid mula merasakan bahawa para guru perlu bagi pelajaran itu menyeronokkan baru mereka hendak belajar. Sedangkan tanggung jawab belajar itu adalah tanggung jawab mereka. Jika para guru itu kurang bijak mengajar pun, pelajar yang tiada entitlement mindset akan memastikan dia belajar bersungguh untuk kejayaan dia! Dan guru yang tiada entitlement mindset pula akan memastikan dia mencari jalan memperbaiki cara dia mengajar.)
Dari Entitlement Mindset inilah lahirnya tanggapan salah yang sering kita dengar, iaitu untuk perubahan berlaku di dalam hidupnya, Orang di sekelilingnya yang perlu berubah dahulu!
Dan ini memang bercanggah dengan apa yang Allah sudah ingatkan di dalam Al-Quran. “Allah tidak akan mengubah Nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka! (Quran, 13:11)
“Untuk sesuatu itu berubah, kita yang mesti berubah dahulu.”
Oleh itu kita perlu berhati-hati agar kita tidak masuk di dalam jerat Entitlement Mindset ini yang boleh meruntuhkan Institusi Kekeluargaan dan masyarakat.
Diantara jerat itu adalah kerana kita dikatakan tetamu membawa rezeki, maka tuan rumah perlu redho sahajalah. Memang kita sebagai tetamu, kita membawa bersama rezeki untuk tuan rumah. Namun, janganlah pulak bersangka sebab kita buka pintu rezeki untuk tuan rumah, kita tidak perlu mempunyai akhlak terpuji bila berziarah. Akhlak terpuji itu membolehkan rezeki masuk untuk tuan rumah dan rahmah ke atas kita juga. 🙂
Malah kita perlu sedar Islam mengajar kita menjaga pertalian sesama manusia dengan bertimbang rasa terhadap satu sama lain.
Itulah sebabnya di Islam, Allah sudah susun dengan baik bagaimana untuk bertamu dan menerima tetamu. Kedua-duanya ada hak dan tanggung-jawab masing-masing dan bukan satu pihak sahaja.
Jika kita jenis orang yang tidak kisah tetamu semakkan rumah atau melakukan sesuka hati mereka di rumah kita, kita tidak boleh membawa apa yang kita rasa selesa atau rules kita itu ke rumah orang yang kita kunjungi.
Sebab kita rasa okay, kita mahukan tuan rumah itu pun ikut cara kita?
Itu juga adalah manifestasi Entitlement Mindset di dalam diri kita! Mari kita betulkan diri bila sudah tersedar kesilapan kita. Ingat mengaku kita tersilap itu adalah suatu kekuatan yang melonjakkan kita untuk mencapai kejayaan yang lebih besar!
Tidak nampak kesilapan kita bila ditegur, ini amat merbahaya dan boleh merosakkan pertalian dalam hidup sesama kita.
Dan juga boleh menyebabkan gagalnya kita dalam mendidik anak-anak untuk berakhlak mulia.
Sangkaan Yang Salah
Ada ibu bapa yang menyangkakan anak-anak kecil memanglah susah hendak dikawal oleh itu biarkanlah sahaja,
Alah bebudak!
Faham-faham sajalah!
Lalu dengan pemikiran seperti ini kita paksa tuan rumah untuk menerima kelakuan kurang terkawal anak-anak kita.
Ada yang mengatakan mereka sudah memberi amaran dah, tapi anak tidak mendengar juga.
Dijegilkan mata, dicubit pun anak buat tak kisah dan terus berkelakuan dengan kelakuan yang tidak disenangi!
Maaf ya Ibu perlu katakan ini, jika kita tidak suka anak kita ditegur dan dinasihatkan untuk berkelakuan senonoh, maka kita berusahalah menjaga akhlak anak-anak kita, terutamanya anak-anak kita yang telah 4 tahun lebih. Kenapa pada usia ini? Kerana anak pada usia ini sudah boleh memahami reason.
Jika anak kita yang sudah 4 tahun pun kita payah untuk kawal kelakuannya, maka itu petanda kita perlu Upgrade kemahiran parenting kita, ya sayang. Sebab kita layak menjadi juara di dalam mendidik anak-anak kita untuk anak-anak kita bukan untuk bertanding tetapi untuk melunaskan tanggung-jawab.
Jika kita melarang dan menasihati anak dibuat tidak dengar, kita perlu sedar, ini petanda kita belum dapat bekomunikasi berkesan dengan anak-anak kita.
Sebenarnya anak anak yang sudah 3.5 – 4 tahun sudah boleh memahami sedikit sebanyak arahan dan penerangan jika disampaikan dengan betul.
Itulah sebabnya kita perlu belajar berkomunikasi dengan anak-anak kerana mereka adalah anugerah yang telah diamanahkan kepada kita.
Malah ada anak-anak yang sedang dalam Fasa Individuating (1.5 – 3.5 tahun) boleh memahami jika diterangkan dengan baik mengikut tahap perkembangan otak mereka. Caranya itulah yang kita perlu kuasai.
Oleh itu jangan hanya merungut yang kita sudah jegilkan mata, sudah mencubit anak untuk melarang, tapi anak terus juga melakukan yang dilarang; kita perlu faham itu maksudnya komunikasi kita belum berkesan.
Jadi perlu cari cara lain. Memukul atau marah pun belum tentu berkesan, kita kena ada kemahiran. Kita boleh belajar. Dan anak-anak kita layak dididik dengan berilmu.
Anak itu ada potensi menjadi baik dan berakhlak mulia.
Cara menyampaikan didikan itu perlu dilakukan dengan berilmu dan berskil.
Bila tiada kemahiran, maka menengking dan memarahilah alternatif yang paling cepat dilakukan.
Ini sebenarnya meletakkan BOM dalam badan anak itu!
Kerana tenaga marah boleh bertukar menjadi dendam dan baran.
Hasilnya, anak masih tidak memahami apakah akhlak yang baik itu. Malah bila berkunjung ke rumah orang tetap berkelakuan dengan berkelakuan yang tidak disenangi tuan rumah.
Malah menjadi-jadi lagi perangai mereka, kerana mereka sedar, jika di rumah orang, mak ayah segan untuk marah.
Oleh itu jadi kita ni pi mai pi mai tang tu juga!
Sebenarnya bagi pendapat Ibu, tidak salah untuk peningkatan diri kita, bila ada orang yang lebih berumur sanggup memberi teguran, kita dengar dan berlapang dada menilai dan kemudian melihat dan mengkaji teguran itu. Jika baik maka kita terima untuk keindahan hidup kita.
Sebenarnya, Allah mentarbiyah kita dengan berbagai cara. Adakala DIA jentik hati kita bila DIA nampak kita sedang menuju ‘gaung’. Kadang-kadang cara Allah mendidik kita adalah melalui contoh hebat orang lain. Adakalanya melalui buku yang kita baca atau movie yang kita tonton. Adakalanya melalui musibah yang didatangi. Adakalanya juga melalui tegur pedih dari orang lain. Kita ambil mesej dari teguran itu dan kita gunakan dengan sebaiknya.
Eh, jangan salah tafsir, bukan Ibu nak mengatakan Chef Wan itu menerima wahyu! Bukan itu maksud Ibu! Nauzubillah!
Maksud Ibu, kita ni ada peranan untuk orang yang dekat dengan kita dan jauh dari kita. Kita sebenarnya adalah alat penyampai mesej. Mesejnya adalah Kasih Allah kepada kita!
Cuba fikir-fikirkan; pernah tak kita terasa macam nak call sesorang dan bila kita call dia, kita dapati dia sedang bersedih dan sedang mengharapkan kawan untuk meluah kesedihannya?
Pernah tak kita terasa sangat nak membeli sesuatu yang kita tidak perlu dan kemudian mendapati seorang yang lain amat memerlukannya tetapi tiada duit untuk membelinya dan kita dapat memberikannya sebagai sedekah?
Setiap kita ini bertaut diantara suatu sama lain dan Allah mahu kita menyampaikan mesej kasihnya kepada satu sama lain. Kadang-kadang mesej kasih itu Tough Love yang sedikit pedih. Namun, sedikit pedih itu boleh menjauhkan kita dari pedih yang lebih besar.
Bukankah amat pedih, jika anak-anak kita hari ini membesar menjadi individu yang tidak ada akhlak mulia? Yang lupa akan ibu bapa dan lupa akan keperluan orang lain. Mementingkan diri semata-mata?
Oopps dah banyak jadi dah kan?
Terlalu ramai yang hanya mementingkan diri sendiri hari ini! Bagaimana jadinya dunia kita sekarang ini?
Inilah mereka yang semasa kecil tidak dikenalkan dengan akhlak dan adab bergaul sesama manusia.
Oleh itu bila ada orang menegur, lihat kebenaran dan mesej di sebalik teguran itu. Apa yang boleh boleh diambil dan apa yang boleh diketepikan.
Elakkan terlalu defensif dan sensitif yang tidak membina diri kita.
Jika kita tersedar anak-anak kita di dalam kategori yang aktif dan tersangat aktif, maka kita carilah jalan untuk lebih boleh mengawal mereka terutama semasa bersama orang ramai.
Macamana tu? Ibu banyak berkongsi ilmu di Page Ibu. Sudilah ikuti di www.facebook.com/iburoselove
Jika berasa sedih kerana di “smash” begitu dan berasa gagal sebagai ibu atau bapa, jalan yang terbaik untuk diambil bukanlah memarahi orang yang menegur, tetapi berusaha memperbaiki diri kerana kita layak menjadi ibu bapa yang bijak.
Sebenarnya komen Chef Wan itu tidak pulak mengatakan ibu bapa yang dimaksudkan itu ibu bapa gagal. Andaian itu mungkin ibu bapa itu sendiri yng buat kerana mereka membuat persamaan bahawa jika ada orang menegur anak-anak mereka, itu bermaksud mereka ibu atau bapa yang teruk.
Persoalannya adakah berfikiran begini membantu mereka dan anak-anak mereka? Is this a resourceful way of thinking?
Lebih baik untuk kita pegang semangat bahawa kesilapan boleh digunakan untuk membina kita. Dan teguran ikhlas sesorang boleh dijadikan pengajaran.
Dan orang yang sanggup menunjukkan kesilapan kita adalah guru yang mahukan kita berjaya sebenarnya.
Walaupun kita rasa kurang selesa menerima teguran itu pada mulanya tapi besarkan hati dan ambil pengajaran dari situ.
Jika kita payah menerima teguran, ketahuilah itu petanda EQ kita perlu diperkukuhkan. Mereka yang kukuh EQ dan Hormat Diri, mudah menerima feedback dan teguran. Itulah yang Ibu belajar selama hidup 57 tahun ini dan mengkaji selama lebih 37 tahun mengenai Psikologi Orang-Orang Berjaya.
Kita layak berjaya!
Remember, you are not a bad parent, it is just that you have not learn the competency. You have the potential to be the greatest parent to your children!
Oleh itu belajarlah dan perbaiki diri!
Dan jika sudah tahu ini, tingkatkanlah kemahiran!
Betulkan sikap, raih skil dan ilmu!
InsyaAllah, anak akan mendengar cakap dan berakhlak mulia tanpa kita perlu marah-marah.
www.iburose.com/parentingbijakpro
Berbalik kepada isu anak-anak berkelakuan tidak keruan, berlari-lari di dalam rumah orang. Masuk bilik yang tidak sepatutnya.
Sentuh itu dan ini. Makan bertabur dan tidak duduk diam TETAPI kita hanya biarkan sahaja hanya kerana anak itu masih kecil, KONONNYA.
Sebenarnya apa yang sedang kita ajar anak-anak kita bila kita berbuat demikian? Untuk berakhlak baik di rumah orang atau sebaliknya?
Bagi anak-anak kecil, bila kita diam dia ingat itu betul dan dia akan keliru apa yang dia boleh buat dan apa yang tidak.
Walaupun dia masih kecil, kita boleh kawal dan didik dia agar tidak masuk bilik orang dan ambil barang orang sesuka hati.
Kita boleh bercakap baik-baik dengan anak itu, tak perlu kita tengking dan jerkah.
Kita cuma perlu bagi sebab yang baik mengikut kefahaman anak kenapa tidak boleh.
Bila dia hendak naik ke bahagian atas rumah tetapi jamuan di ruang tamu contohnya, janganlah diamkan sahaja.
Ambil anak itu dan beritahu dia, elok dia bermain di ruang tamu dan makan di situ.
Janganlah pula menggunakan tuan rumah untuk menghalang anak.
Contohnya; ‘Jangan naik, nanti aunty ni marah!’
Apakata cakap begini;
“Mari main kat sini. Tengok aunty yang baik hati ni dah sediakan untuk kita makan kat sini. Mari kita say thank you to aunty dan makan baik-baik kat sini. Anak mama dengar cakap mamakan kan ”
Ada antara anda yang mungkin berfikiran begini:
“Susahlah hendak cakap. Anak bukan hendak dengar. Selagi tidak dijerkah tidak berhenti!”
Persoalannya sayang, siapa yang memperkenalkan sistem jerkah itu?
Kalau kita yang perkenalkan sistem jerkah, kita juga boleh menyahkan sistem jerkah itu dan gantikan dengan sistem yang berkesan.
Akhlak Seorang Muslim
Ibu nak ajak sayang untuk berfikir betul-betul akan perkara ini:
hanya kerana kita tidak dapat mengajar anak untuk mengawal perangainya, maka kita lepaskan beban itu pada tuan rumah dan expect dia untuk terimalah apa yang anak kita buat? Terimalah seadanya, ya?
Macam tak betul saja cara berfikir begini!
Eh, kita mesti ingat, bukan tanggung-jawab tuan rumah itu untuk terima kita seadanya.
Kita yang perlu datang dalam keadaan yang baik dan tidak menyusahkan tuan rumah.
Itu akhlak seorang Muslim. Itu hak tuan rumah terhadap kita.
Tapi…..
“Anak I memang macam tu, so macam mana, tak kan nak kurung kat rumah?”
Sekali lagi Ibu minta maaf kerana Ibu perlu menyatakan sesuatu yang mungkin bukan “halwa telinga” (benda yang best untuk didengar).
Ya, jika anak-anak terlalu aktif dan sukar dikawal, buat masa mereka masih belum cerdik dan boleh mengawal diri, jika perlu berkurung di rumah dulu, maka, berkurunglah.
Sampai bila? Sehingga anak itu sudah tahu berkelakuan sopan!
Atau mungkin boleh membawa dia ke beberapa rumah yang anda kenal rapat dan didik dia bagaimana nak bertamu di rumah sesaorang.
Boleh sebenarnya. Anak boleh dididik, kita sahaja yang kena sabar.
Kita Kena….
- Kita kena belajar bagaimana hendak mendidik dari hati kerana akhlak ini datang dari hati. Bukan sekadar dapatkan tips sahaja.
- Kita kena sanggup belajar, kuasa skil berkomunikasi dan memimpin dan buang tanggapan yang kurang tepat terhadap kebolehan kanak-kanak.
Ya kita perlu ubah sangkaan kanak-kanak memang tidak tahu mendengar arahan dan akan berkelakuan berlari-lari, meramas makanan, menyemakkan rumah tuan rumah, ambil itu dan ini tanpa meminta izin, sebab dia budak-budak, belum ada akal.
Maka biarlah sahaja, tidak perlu dididik!
Ini tidak tepat kerana perbuatan begini sebenarnya tanpa kita niat kita membina generasi yang tidak bertanggung-jawab.
Adakah itu yang kita nak?
Itulah Sebabnya…..
Itulah sebabnya kita banyak melihat sekarang ini “budak-budak di dalam badan orang berumur 30-40 tahun.” Badan dah dewasa, tapi akal belum sempurna.
Bagaimana tu?
- Bila berziarah di rumah orang tidak tahu menjaga adab bertamu, makanan diambil selagi lalu dan kemudiannya dibuang sahaja dan membazir. Sedangkan mereka sedar ada orang yang belum makan!
- Expect tuan rumah sediakan segala-galanya dan mengkeji jika tuan rumah tidak dapat melakukannya.
- Bila sudah makan ditinggalkan sahaja bersepah. Sedangkan yang dikunjung adalah rumah orang yang telah uzur (tua).
- Datang menziarah ikut sedap hati, terlalu pagi atau terlalu jauh malam sehingga mengganggu tuan rumah. Sudah pukul 12 malam, masih berborak-borak kosong dengan suara yang kuat sesama sendiri sedangkan tuan rumah sudah letih melayan.
- Pegang itu dan ini barang-barang tuan rumah. Masuk sahaja ke bilik-bilik tuan rumah ikut sesuka hati.
- Bertanya apa yang tidak sepatutnya ditanya dan menunjukkan mimik muka mencerca.
- Menggunakan tandas yang bersih tetapi meninggalkannya dalam keadaan yang kotor. Lampin kotor anak-nak kecil tidak dibuang dengan baik. Di harap tuan rumah yang patut membersihkan kotoran yang dibuat.
Ya, memanglah tuan rumah buat rumah terbuka, tetapi bukan semua bahagian rumahnya dibuka untuk diselidik bagai.
Sudah Sampai Masa untuk Berhenti Beri Alasan
Kita perlu berhenti memberi alasan anak itu masih kecil dan tidak faham lagi.
Oleh biarkanlah sahaja.
Sebab kita tak rajin hendak belajar macamana kita boleh didik mereka untuk berkelakuan sopan bila bertandang maka kita biarkan sahaja anak kita?
Kasihan anak kita. Dia mengharapkan kepimpinan kita!
Ketahuilah
“Semuanya naik dan jatuh dengan kepimpinan “
– John C Maxwell, Leadership Guru (Guru Kepimpinan).
Sebaliknya,
Kita hendaklah sering bercakap dengan baik. Mendidik dengan cermat dan penuh hormat.
Mempunyai skil berkomunikasi.
Tahu tahap perkembangan kanak-kanak.
Memberi sebab yang membina dan boleh diterima akal anak itu.
Ketahuilah anak yang sudah 2.5 tahun akan boleh berkelakuan baik di rumah orang.
Dan jika dia masih belum boleh, maka kita tenangkanlah dia dan dengan baik.
Tapi ada ibu bapa yang Ibu perhatikan ada ibu bapa yang suka ambil short cut yang membahaya.
Iatu dengan menggunakan kekerasan untuk memastikan anak mendengar cakap.
Jenis Short Cut yang Merbahaya
Ada ibu bapa; mereka expect anak berkelakuan baik, tetapi anak tidak diajar dengan bersungguh bagaimana hendak berkelakuan baik.
Malah sedihnya mereka sendiri pun menunjukkan contoh yang kurang baik.
Seperti mereka akan marah berlebihan di rumah tetamu bila anak itu tersilap tertumpah air atau terpecah gelas atau sebagainya.
Bila marah sering menggunakan ugutan pula tu; “ Biarkan, biar mak cik tu marah!”
Lepas tu sambung bersembang dan membiarkan tuan rumah membersihkan.
Tiada kesungguhan mendidik di situ!
Apa kata guna peluang ini mengajar anak itu minta maaf dan mintalah kain untuk lap dan bersihkan apa yang dah terpecah atau tertumpah itu bersama dengan anak.
Kita ibu bapa pun bersungguh-sungguhlah meminta maaf dari tuan rumah. Dan ajak anak untuk meminta maaf dengan baik.
Senangkan kerja tuan rumah.
Cara Selesa Memberi Anak Kecil Makan Semasa Bertamu
Seperkara lagi, jika tuan rumah menyediakan pinggan atau cawan plastik, maka gunalah yang plastik itu untuk anak kecil yang hendak makan sendiri.
Pastikan dia makan setempat dan sebolehnya elakkan dari makan atas sofa atau karpet bagi makanan yang mudah tumpah.
Yang terbaik, letak lapik dibawah makanan anak itu.
Bawalah tuala kecil untuk tujuan itu.
Supaya jika dia tertumpah atau terjatuhkan makanan mudah untuk dibersihkan dan tidak merosakkan barang tuan rumah.
Kita kenalah ada perasaan timbang rasa juga kepada tuan rumah.
Mungkin itu sofa baru dia dan jika tertumpah apa-apa akan payah untuk hilang kotoran itu.
Jika kita beri anak gelas kristal, pinggan kristal dan bersangka anak boleh handle, sebenarnya kita membebankan anak kita.
Kesian anak kita dibebankan dengan satu tanggung-jawab yang besar bagi dia untuk kawal tangan dia yang masih kecil untuk membawa gelas atau pinggan kristal yang berat itu.
Ini sebenarnya common sense.Tapi tak tahu lah mengapa ada yang tidak tahu perkara seperti ini.
Petua Berguna
Mungkin juga anak itu baru 3 tahun ke bawah, memanglah ada yang belum faham lagi.
Tak guna kita marah dan cakap suruh behave. Mungkin payah hendak dikawal.
Oleh itu, untuk elakkan anak itu meramas biskut atau buat perkara begitu, ibu dan bapa bekerjasamalah.
Seorang pegang satu dan yang lagi seorang pegang yang satu lagi.
Duduklah di tempat yang senang anak-anak bermain dengan selamat.
Makan dan minum boleh lah bersuap.
Tetapi seperti yang Ibu katakan, jika kita ada kemahiran, anak yang di bawah 3 tahun pun boleh berkelakuan baik semasa bertamu.
Anak Kecil Mudah Meragam
Anak kecil tetap anak kecil, akan mudah rasa rimas dan kemudiannya jika dibiarkan akan meragam. Oleh itu bila nampak anak dan tidak selesa, bersegeralah mintalah izin untuk balik.
Bertandang itu tidaklah wajib lama-lama tetapi menjaga akhlak semasa bertandang itu wajib!
Cerita Pengalaman Ibu Sendiri
Didik Anak Dengan Rules Yang Membina.
Ibu pun pernah ada anak kecil juga.
Ibu pun pernah ditegur dengan pedih juga.
Dan pernah perlu membawa anak-anak 4 orang berderet bertandang. Memang payah!
Namun, sebab Ibu hendak menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak Ibu, Ibu belajar dari seseorang yang lebih pandai. Dan beliau mengajar Ibu untuk memperkenalkan rules yang mudah dan membina dalam pelbagai hal kepada anak-anak Ibu. Termasuklah rules bila bertandang ke rumah orang.
Dan perkara ini Ibu cakap bukan semasa hendak bertandang sahaja.
Semasa mereka nak tidur, semasa mereka bermain dengan Ibu, Ibu selit rules ini dan cerita kepada mereka bagaimana gembirannya tuan rumah dan bangganya Ibu kalau mereka menjaga akhlak mereka semasa berkunjung.
Dan sekiranya adakalanya mereka terlepas laku, mungkin excited sangat.
Jadi Ibu ingatkanlah rules dan regulation yang telah dipersetujui.
Tapi jika terlebih dan nampak payah nak dikawal, maka Ibu ambil mereka dan ajak balik.
Tambah pula bila nampak ada kawan-kawan yang hendak memukul dan sebagainya.
Anak-anak kecil ni boleh dikawal sebenarnya.
Mereka boleh mempunyai akhlak terpuji bila bertandang dan bila-bila masa.
Apa yang boleh membantu mereka mempunyainya adalah kita menunjukkan contoh yang baik dan didik mereka dengan penuh sabar dan kasih-sayang.
Kita perlu bersedia memperbetulkan diri dan sikap kita untuk menerima teguran.
Kalau kita rasa sedih dengan teguran Chef Wan atau mereka yang menegur kita sebab kita ada anak-anak yang susah hendak dikawal, kita perbaiki sahaja diri dan katakan kepada diri kita, kita mampu mendidik anak-anak kita mampu berakhlak terpuji.
Dan berazamlah untuk belajar!
Jangan pula sour grape!
InsyaAllah, Allah bantu kita mendidik mereka dengan lebih tepat.
Dimana salahnya teguran Chef Wan itu?
Bagi Ibu tiada salahnya teguran Chef Wan tu. Kata-kata beliau juga tidaklah keterlaluan. Cuma memanglah karekter beliau suka membebel. Tapi penulisannya, bagi Ibu tidaklah kasar dan tidaklah membebel. Beliau tidak pula mengatakan ibu bapa itu bodoh, atau celaka atau semua yang sewaktu dengannya.
Chef Wan BUKAN….
- Beliau bukan mengatakan semua orang atau semua ibu bapa, tetapi segelintir!
- Beliau bukan marah kepada ibu bapa yang telah berusaha mengawal anak-anak, beliau menegur ibu bapa yang buat tidak kisah.
- Beliau bukan mengatakan semua orang tidak menjaga kebersihan tandas, dia menegur segelintir yang tiada civic mindedness.
- Beliau bukan marah makan banyak-banyak makanan yang dihidang (yalah masakan Chef Wan kan, sapa tak nak makan banyak-banyak. Ibu pun nak!) Beliau hanya sedih orang ambil banyak-banyak tetapi tak makan habis dan buang sedangkan ada tetamu yang belum makan lagi.
So di mana salahnya teguran beliau?
Ibu tak tahulah jika ada entry beliau yang Ibu tak tahu. Tapi jika yang di Instagram itu, Ibu tidaklah nampak teguran beliau itu keterlaluan. Namun, itu pendapat Ibu lah. Nak setuju atau tidak tiada paksaan 🙂 I still love you!
Seperkara lagi beliau menggunakan perkataan segelintir. Kalau kita tidak tergolong dalam segelintir itu, tidak perlulah kita hendak terasa hati.
Jika kita termasuk di dalam segelintir itu, cara yang terbaik ialah membetulkan diri dan menjadi lebih baik.
Jadi lebih peka dan lebih prihatin. Kita mampu sebenarnya.
You know what?
Kita layak dihormati dan dikagumi.
Namun, semua itu akan datang kepada kita bila kita hayati akhlak terpuji.
Ibu doakan agar Allah memudahkannya untuk kita semua senantiasa mencermin diri dan berusaha Upgrade diri kita supaya kita mampu menjadi ibu atau bapa yang terbaik untuk anak-anak kita. Itu hak anak-anak terhadap kita 🙂
Entri kali ini adalah mengenai adab kita sebagai tetamu. InsyaAllah, pada penulisan seterusnya, Ibu akan kupas adab kita sebagai Tuan Rumah juga. Semoga Allah mengizinkan dan memudahkan.
Salam Sayang, Ibu Rose